(in the news ::: Utusan Malaysia, FORUM, 24th March 2003)

Saudara Pengarang,
KEMPEN menderma organ selepas meninggal dunia masih kurang mendapat sambutan. Sambutan yang diterima apabila dibangkitkan topik pendermaan organ, amatlah rendah.

Ini dapat dilihat dalam peratusan penduduk negara kita yang telah berdaftar dengan Pusat Sumber Transplan Nasional untuk menderma organ selepas meninggal dunia.

Jikalau Sepanyol mencatat 27% penduduknya menderma organ dan Singapura kira-kira 2%, mustahilkah negara kita mencapai angka 5%? Bukankah rakyat negara kita sentiasa prihatin dan bermurah hati? Tetapi sedihnya, negara kita hanya mencatat peratusan KURANG daripada 1%!

Banyak yang boleh dilakukan demi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menderma organ dan meningkatkan peratusan tersebut.

Persatuan-persatuan bukan kerajaan boleh mengadakan lebih banyak kempen kesedaran sebagai aktiviti tahunan. Kempen begini mudah dijalankan dan maklumat tentang pendermaan organ sudah sedia ada di Pusat Transplan Nasional.

Syarikat-syarikat swasta gergasi juga boleh membantu menyebarkan mesej menggalakkan pendermaan organ. Contohnya, baru-baru ini, transit ringan PUTRA, dengan kerjasama Big Tree dan Kementerian Kesihatan Malaysia melancarkan program kesedaran pendermaan organ.

Poster-poster mengenai topik pendermaan organ terpapar di stesen-stesen dan tren-tren terpilih. Slogan Dermalah Organ demi Sebuah Kehidupan tertera dalam pas bulanan transit ringan PUTRA untuk bulan Ogos.

Mungkin Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional boleh mencetak slogan berkaitan pendermaan organ dalam bil bulanannya.

Pembangunan pesat negara kita membolehkan lebih ramai orang mempunyai capaian internet. Dalam era berteraskan informasi ini, patutlah disediakan satu laman web untuk tujuan menyebar dan mengumpul maklumat tentang pendermaan organ. Laman web sebegini memudahkan lagi perlaksanaan kempen kesedaran pendermaan organ kerana maklumat akan mudah dicari kelak.

Tambahan pula, rakyat Malaysia boleh mengisi borang pendaftaran menderma organ secara online bila-bila masa dan di mana jua.

Suara badan-badan agama dalam isu pendermaan organ patut lebih lantang demi menyedarkan masyarakat atas penggalakkan dan pengiktirafan agama dalam pendermaan organ.
Borang pendermaan organ boleh diberikan dan pemungutan borang tersebut mungkin boleh dijalankan di tempat ibadat semasa hari perayaan seperti Hari Raya Puasa, Hari Krismas, Deepavali dan Hari Wesak. Contohnya, pada Hari Wesak tahun ini, tokong di Brickfields sahaja mendapat sambutan seramai 600 orang.

Ramai penerima organ amat berterima kasih kepada penderma organ yang memberikan mereka cahaya kehidupan, ketika mereka berada di pinggir panggilan maut. Sudah tentu saudara mara penerima organ itu serta merta mendaftar menjadi penderma organ. Mereka sedar akan kepentingan proses pendermaan organ itu, yang telah menyelamatkan orang tersayang mereka.

Pada pendapat saya, semua penerima organ harus turun ke padang untuk membantu kempen kesedaran pendermaan organ.
Satu lagi langkah yang mungkin dapat meningkatkan kadar pendaftaran pendermaan organ – penyataan hasrat untuk menderma organ selepas meninggal dunia di dalam lesen memandu.

Memandangkan myKad sudah mula digunakan di negara kita, wajarlah jika penyataan ya atau tidak untuk menderma organ selepas meninggal, dinyatakan dalam data MyKad.

Selain itu, pemegang kad penderma organ mungkin boleh diberi keistimewaan seperti yang penderma darah peroleh. Kad penderma organ diberikan kepada setiap pendaftar yang telah mengisi borang pendaftaran pendermaan organ. Contohnya, Persatuan Pemuda Negara Malaysia memberikan keahlian percuma selama setahun untuk penderma organ yang mendaftar semasa kempen kesedaran pendermaan organ yang dijalankan olehnya.

Walaupun semua langkah dilaksanakan, bukannya tentu peratusan pendermaan organ di Malaysia akan meningkat. Semuanya bergantung kepada individu sendiri. Sikap individu amat penting dalam soal pendermaan organ. Tiada gunanya segala usaha dijalankan jika rakyat Malaysia sendiri ragu-ragu terhadap isu pendermaan organ. Kami di Biro Kebajikan, Persatuan Pemuda Negara Malaysia, menyeru agar kita beramai-ramai menyokong dan mengambil tindakan serta mendaftar menjadi penderma organ.

Ramai juga yang mungkin ditakutkan dengan isu penjualan organ secara komersial dan haram. Walau bagaimanapun, aktiviti ini terkawal ketat oleh kerajaan. Malaysia tidak menyokong sama sekali mana-mana agenda yang menjadikan jual beli organ satu aktiviti komersial. Bak pepatah, sebab setitik nila, rosak susu sebelanga. Aktiviti kecil begini menyebabkan kebanyakan orang memulaukan pendermaan organ.

CHEW HOONG LING

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *