(in the news ::: Utusan Malaysia, Pendapat, 6 Nov 2006)

Pendapat

 

ISU menderma organ sama sahaja seperti isu menderma darah pada 20 tahun yang lalu. Pada masa itu, ramai orang yang enggan menderma darah dengan memberi pelbagai alasan dan menyelubungi diri dengan rasa takut.

Malah, tidak kurang juga ramai yang mementingkan diri kerana tidak tahan sakit dan tidak berani melihat darah menjadi dalih untuk tidak menderma darah. Walau bagaimanapun, persepsi itu bertukar apabila banyak media massa memikul tanggungjawab bagi menyebarkan isu menderma darah, banyak pertubuhan bukan kerajaan mengambil langkah menjayakan kempen-kempen menderma darah, pihak tabung darah yang memberi bantuan termasuk hari cuti dan hari minggu serta pelbagai pihak yang menerajui kempen-kempen kesedaran tentang pendermaan darah.

Penghijrahan minda ini banyak juga berlaku apabila mereka yang enggan menderma darah mula memerlukan darah. Ramai yang membuka minda untuk menderma darah apabila diri sendiri memerlukan darah atau terdapat saudara- mara yang perlu diselamatkan nyawa. Sungguhpun begitu, kadar pendermaan darah kian meningkat dan ada sesetengah tabung darah menerima berpuluh-puluh penderma setiap hari. Di mana-mana sahaja kita kedengaran ada kempen menderma darah.

Namun, berlainan pula dengan pendermaan organ. Ramai yang masih ragu-ragu untuk mengikrarkan diri sebagai penderma selepas meninggal nanti. Apabila isu kematian dibangkitkan, ramai juga yang tidak senang hati. Masih ramai yang terperuk dalam persepsi sendiri yang salah mengenai isu agama yang tidak membenarkan pendermaan organ selepas meninggal dunia. Malah, ramai yang belum pernah mendengar tentang pemindahan organ dan tidak sedar yang organ boleh diderma selepas meninggal.

Oleh sebab itulah, tidak hairan penulis begitu gembira apabila Utusan Malaysia, memaparkan tentang isu ini. Bahkan paparan itu diterbitkan di muka hadapan dengan tajuk besar untuk dua hari berturut-turut.

Baru-baru ini juga, Anita Sarawak turut mendukung isu ini apabila isu ini dibincangkan melalui rancangan Bersama Anita yang disiarkan di Astro Ria. Banyak kempen menderma darah sekarang turut menyediakan kemudahan untuk mereka yang ingin menjadi pengikrar pendermaan organ. Seminar-seminar agama mengenai isu ini hebat dibincangkan pada awal kempen kesedaran menderma organ, malah ada yang disiarkan melalui RTM.

Penulis percaya, dengan adanya teknologi moden dan Internet sekarang, perkara ini tidak perlu mengambil masa berdekad-dekad untuk diterima oleh rakyat. Di negara Sepanyol, lebih daripada separuh populasinya adalah pengikrar penderma organ.

Penulis banyak mengikuti perkembangan isu ini sejak mengikrar menjadi penderma organ semasa umur 13. Pelbagai langkah telah diambil untuk menangani masalah yang dihadapi oleh penderma atau pengikrar. Satu kad penderma organ seragam untuk rakyat Malaysia telah dikeluarkan pada tahun 1995 dan satu badan khas, Pusat Sumber Transplan Nasional telah ditubuhkan.

Sebelum itu, penderma mengikrar untuk menderma buah pinggang melalui Yayasan Buah Pinggang Nasional (NKF), mata melalui Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) dan hepar melalui Yayasan Hepar Malaysia. Kerajaan juga pernah berbelanja banyak untuk mengiklankan pendermaan organ.

Banyak lagi langkah-langkah yang perlu dijalankan untuk meneruskan usaha murni ini. Internet harus digunakan untuk memperluaskan kempen-kempen kesedaran dalam isu ini. Borang pendermaan organ harus didapati dengan mudah melalui Internet. Penulis sendiri menyediakan ruang di laman web peribadi untuk tujuan ini.

Statistik menunjukkan lebih daripada 30 peratus pengikrar pendermaan organ adalah dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an. Langkah-langkah perlu diambil untuk menarik lebih ramai pengikrar yang lebih tua. Tidak dinafikan memang masih banyak halangan persepsi golongan tua tentang budaya, kepercayaan dan adat masing-masing.

Agama juga memainkan peranan penting dalam isu ini. Sebagai contoh, semasa Hari Wesak sahaja lebih daripada 600 borang pengikrar pendermaan organ diterima. Jika langkah ini berjaya menarik minat penganut agama itu, penulis dengan rendah diri mencadangkan isu ini dijadikan topik semasa sembahyang Jumaat dan borang pendermaan organ disediakan di masjid. Langkah yang sama boleh dilakukan di kuil dan tokong.

Walau apa langkah yang dilakukan, semuanya tidak akan berkesan jika manusia sendiri tidak membuka minda untuk menerima isu ini. Justeru, penulis menyeru agar orang ramai dapat berganding tangan dalam membantu saudara sejagat kita menerima cahaya baru apabila “enjin” dalam badannya sudah gagal berfungsi. Semua ini hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk mengisi borang pendermaan organ dan siapa tahu “enjin” andalah yang akan tinggal di bumi ini untuk terus berbakti walaupun anda sudah meninggal. Pepatah Melayu mengatakan “Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama” dan kali ini penulis menyeru agar manusia mati meninggalkan organ untuk terus berbakti di dunia ini.

Chew Hoong Ling,
Presiden Lions Club of CyberCare Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *