(in the news ::: Utusan Malaysia, Pendapat, 11 Apr 2006)

DALAM kita ingin mengejar Wawasan 2020, perpaduan kaum akan menjadi penggerak ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Jika kita sibuk bercerita berkenaan dengan sekolah wawasan atau masalah polarisasi di sekolah kebangsaan dan universiti, kita juga jangan lupa rumah kebajikan terutamanya rumah anak yatim turut berlakunya masalah yang sama.

Jika kita lihat di pelosok negara terlalu banyak rumah anak yatim untuk kaum-kaum dan agama tertentu. Anak yatim yang masih muda diajar bergaul dalam satu kelompok kaum sahaja dan cara ini hanya merugikan negara dalam membina perwatakan bangsa Malaysia. Amalan ini juga hanya akan menerbitkan sentimen kaum sahaja hingga menyebabkan perpaduan tidak dapat diasah di peringkat masih muda lagi.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat harus memantau penubuhan rumah kebajikan anak yatim agar lebih integrasi. Kita tidak mahu wujudkan sistem rumah kebajikan yang lebih bercorakkan perkauman dan agama.

Sebagai seorang yang terlibat dalam kerja kemasyarakatan, bersama CyberCare yang telah menjaringkan 90 pertubuhan kebajikan di Malaysia yang menempatkan hampir 5,000 kanak-kanak, kebanyakannya anak-anak yatim.

Tugas saya setiap hari ialah menjalankan aktiviti untuk membantu perkembangan mereka dari segi pendidikan, kepimpinan dan nilai-nilai murni. Program yang dirancang diharapkan dapat membantu melahirkan insan yang berguna kepada negara.

Ke mana saja saya pergi, saya suka mengeluarkan data jaringan 90 pertubuhan anak yatim ini dan memilih yang terdekat dengan saya supaya dapat saya mengunjungi kanak-kanak CyberCare.

Tambahan pula saya dapat berinteraksi dengan penyelia pertubuhan tersebut bagi mengetahui lebih lanjut keperluan kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini.

Lawatan-lawatan ini bukan sahaja membuka mata saya kepada dunia kanak-kanak tetapi juga membimbangkan saya. Ketara sekali kelihatan, populasi kanak-kanak yang tinggal di asrama-asrama pertubuhan kebajikan terbahagi kepada Melayu dan bukan Melayu.

Bancian telah dijalankan dan menunjukkan kurang daripada 10 peratus pertubuhan mempunyai kanak-kanak yang merangkumi semua kaum di bawah satu bumbung. Kebanyakan pertubuhan-pertubuhan kebajikan ini mempunyai majoriti penghuni yang terdiri daripada Melayu dan sebilangan kecil pula kanak-kanak bukan Melayu.

Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan yang hanya menempatkan kanak-kanak daripada satu kaum bukan Melayu sahaja.

Angka ini tidak memeranjatkan saya memandangkan kebanyakan pertubuhan kebajikan ditubuhkan oleh ketua-ketua agama. Tambahan pula, ramai penjaga kepada kanak-kanak ini juga memilih pertubuhan mengikut kaum mereka sendiri.

Pihak kerajaan patut mengkaji pendekatan yang digunakan oleh pertubuhan yang menampung anak-anak yatim yang terdiri daripada semua kaum di Malaysia. Cara yang digunakan oleh mereka mungkin sesuai dan dapat dilaksanakan dalam pertubuhan-pertubuhan yang lain. Selain itu, pihak kerajaan mungkin boleh mengagihkan kanak-kanak yatim ke rumah-rumah anak yatim mengikut campuran kaum.

Malah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dapat memainkan peranan dalam merapatkan jurang perkauman rumah anak-anak yatim ini. Beberapa NGO boleh mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak dari pelbagai pertubuhan kebajikan dan asrama anak-anak yatim supaya dapat melibatkan kanak-kanak daripada semua kaum.

Di CyberCare, kami berterima kasih atas tajaan Microsoft yang akan menyediakan peruntukan bagi menjalankan bengkel latihan komputer untuk kanak-kanak dalam jaringan CyberCare di seluruh Malaysia. Dengan adanya peruntukan ini, CyberCare akan dapat mengorak langkah untuk merancang aktiviti ini yang juga akan mengambil kira integrasi kaum sekali gus memupuk nilai saling hormat-menghormati dalam diri kanak-kanak ini sejak dari kecil. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Kami berharap orang ramai, penaja-penaja korporat, pihak kerajaan dan orang perseorangan akan mengambil kira integrasi kaum apabila menjalankan aktiviti bersama anak-anak yatim. Semoga kanak-kanak ini dapat membesar dalam suasana positif dan dapat dilahirkan sebagai personaliti unggul untuk pembangunan negara.

– CHEW HOONG LING
Kelab Lions CyberCare, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *