Sudah sekian lama penulis tidak membeli akhbar Utusan Malaysia kerana seringkali membaca berita dalam talian. Jika ingin membeli akhbar itu pun, penulis sentiasa memilih untuk membeli naskah hari Isnin yang memuatkan sisipan Utusan Melayu versi Jawi yang diedarkan percuma. Walaupun tidak diberi status bumiputera dan bukanlah anak Melayu, penulis suka menggunakan sisipan itu sebagai latihan membaca Jawi agar kebolehan itu kekal dan tidak hilang.
Baru-baru ini, penulis melawat Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra dengan harapan dapat membeli sebuah dua buku ringkas yang menggunakan tulisan Jawi. Harapan tidak tercapai apabila penulis cuma dapat mencari senaskah buku yang kiranya agak tebal di reruai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Lain-lain buku yang menggunakan tulisan Jawi adalah dalam Bahasa Arab atau bahan bacaan agama.
Kembalikanlah sisipan Jawi dan bukan sahaja dalam Utusan Malaysia malah akhbar lain. Janganlah terhenti dengan “Jawi mingguan” sahaja. Penulis menyarankan agar Utusan Malaysia mendedikasikan satu muka surat, atau lebih baik satu segmen setiap hari menggunakan tulisan Jawi.