𝗔𝗯𝘂 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗴𝘂𝗻𝗱𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗶𝗹𝘂
Abu yang mengundang pilu

Umur saya belum lagi membelek muka ke-4. Cerita tentang komunis cuma melalui mata pelajaran Sejarah dan Pengajian Am di sekolah sahaja. Ditambah ilmu daripada pembacaan luas dan naratif moyang, namun tidak dapat dibayangkan kekejaman yang dilakukan.

Terngiang-ngiang dalam kepala apabila guru Tingkatan Enam berbincang tentang komunis dan mengakhiri kelas dengan ayat “Kegiatan komunis mungkin sudah dibanteras tetapi idealogi itu masih berlegar dalam minda manusia. Amat bahaya jika dijentik, jangan biar idea itu menjadi realiti dalam sejarah negara kita lagi”

“𝘒𝘦𝘨𝘪𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘬𝘰𝘮𝘶𝘯𝘪𝘴 𝘮𝘶𝘯𝘨𝘬𝘪𝘯 𝘴𝘶𝘥𝘢𝘩 𝘥𝘪𝘣𝘢𝘯𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴 𝘵𝘦𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘪𝘥𝘦𝘢𝘭𝘰𝘨𝘪 𝘪𝘵𝘶 𝘮𝘢𝘴𝘪𝘩 𝘣𝘦𝘳𝘭𝘦𝘨𝘢𝘳 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘮𝘪𝘯𝘥𝘢 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢. 𝘈𝘮𝘢𝘵 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘺𝘢 𝘫𝘪𝘬𝘢 𝘥𝘪𝘫𝘦𝘯𝘵𝘪𝘬, 𝘫𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘣𝘪𝘢𝘳 𝘪𝘥𝘦𝘢 𝘪𝘵𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘳𝘦𝘢𝘭𝘪𝘵𝘪 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘴𝘦𝘫𝘢𝘳𝘢𝘩 𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘭𝘢𝘨𝘪”

Saya masih tidak memahami pada masa itu. Berdekad kemudian, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan tetapi diganti dengan SOSMA. Sebagai pejuang kebebasan dan pemuda era modern, sebenarnya saya tidak bersetuju dengan kedua-dua ISA dan SOSMA. Walau bagaimanapun, pemimpin pada masa itu berkata kegiatan pengganas masih berleluasa. Saya tidak percaya.

Berlaku pula keganasan di Sabah yang seperti mahu membuktikan kesahihan kegiatan pengganas. Kebelakangan ini, SOSMA terpakai untuk beberapa yang disyaki dalam LTTE.

Sejujurnya, saya tidak terasa apabila Chin Peng mahu pulang ke negara dan bercita-cita untuk meninggal dunia dalam negara. Manusia itu kemudian sudah meninggal dunia. Semua soalan saya pun tak mungkin terjawab.

Tidak saya sangka, abu Chin Peng diseludup kembali ke Malaysia. Banyak pula berulang cerita tentang pembunuhan yang berlaku, kekejaman komunis, dan akhirnya perbahasan dalam Dewan Rakyat, kata-kata Santubong YB Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. Malah, Cameron Highlands yang begitu diam pun bersuara. Siapa sangka perbahasan itu sebenarnya memberi kesan kepada saya.

Emosi yang dibawa dalam dewan itu bukan berbaur politik tetapi sarat dengan kesedihan menyelubungi pengalaman mereka yang pernah melaluinya. “Ambush” yang diceritakan dan pembunuhan di depan mata mereka itu cukup menyayat hati saya. Ribuan anggota yang gugur dalam medan perjuangan itu sesungguhnya pengorbanan yang amat besar.

Saya mula memahami. Jika abu itu dibawa pulang secara diam dan ditabur di mana-mana pun, mungkin tidak akan tercetus bicara lanjut. Tetapi, segelintir ini mencetak kain rentang dan mewar-warkan hal itu secara terbuka tanpa menjaga sensitiviti ahli keluarga anggota yang terkorban akibat kegiatan komunis.

Saya mula merasakan hal ini seperti satu cabaran dibuat untuk mengubah sejarah negara, mensucikan kembali ideologi komunis dan terang lagi bersuluh mereka mahu membuktikan kehebatan mereka. Malah, mereka terbuka menyatakan mereka tidak bersalah mengikut undang-undang. Jika dibiarkan berterusan tanpa siasatan dan tindakan, saya percaya ideologi komunis akan menular dan bertapak kembali.

Kata-kata guru Pengajian Am saya itu masih terbukti benar. “Kegiatan komunis mungkin sudah dibanteras tetapi idealogi itu masih berlegar dalam minda manusia. Amat bahaya jika dijentik, jangan biar idea itu menjadi realiti dalam sejarah negara kita lagi”

“𝘒𝘦𝘨𝘪𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘬𝘰𝘮𝘶𝘯𝘪𝘴 𝘮𝘶𝘯𝘨𝘬𝘪𝘯 𝘴𝘶𝘥𝘢𝘩 𝘥𝘪𝘣𝘢𝘯𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴 𝘵𝘦𝘵𝘢𝘱𝘪 𝘪𝘥𝘦𝘢𝘭𝘰𝘨𝘪 𝘪𝘵𝘶 𝘮𝘢𝘴𝘪𝘩 𝘣𝘦𝘳𝘭𝘦𝘨𝘢𝘳 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘮𝘪𝘯𝘥𝘢 𝘮𝘢𝘯𝘶𝘴𝘪𝘢. 𝘈𝘮𝘢𝘵 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘺𝘢 𝘫𝘪𝘬𝘢 𝘥𝘪𝘫𝘦𝘯𝘵𝘪𝘬, 𝘫𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘣𝘪𝘢𝘳 𝘪𝘥𝘦𝘢 𝘪𝘵𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘫𝘢𝘥𝘪 𝘳𝘦𝘢𝘭𝘪𝘵𝘪 𝘥𝘢𝘭𝘢𝘮 𝘴𝘦𝘫𝘢𝘳𝘢𝘩 𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘭𝘢𝘨𝘪”

Hoong Ling
28/11/2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *