Tahun Baru Cina – apa lagi mahu rindu?

Saya baru sahaja mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR. Gembira, mengesat air mataku dengan lengan baju berbelang warna hitam putih. Baju itu diturunkan dari beberapa orang sepupu yang lebih besar daripada saya. Maklumlah, zaman 90-an, kami berjimat segalanya.

Baju kami diturunkan dari sepupu dan ahli keluarga yang sebaya. Saya tinggal bersama dua sepupu yang lebih besar daripada saya, jadi baju saya semua dari mereka. Sekali sekala kami ada juga membeli baju baru, terutamanya semasa Tahun Baru Cina. Beli, itupun kalau ada “Diskaun” atau “50%” tertera padanya. Saya tinggal bersama makcik saya yang mendidik nilai wang dan erti jimat cermat.

Makan kami boleh tahan. Makcik dan ahli keluarga kami dahulunya pengusaha kantin sekolah. Sehingga sekarang pun masih mengusahakan perniagaan makanan di sebelah pagi di Restoran Star View, Teluk Intan. Nasi lemak, kari ayam, nasi kunyit dan sambal asam udang – sudah cukup membuka selera.

Tiba Tahun Baru Cina, lagi istimewa. Gulai tempoyak udang galah, gulai perut ikan, dan crab cutlet merupakan antara sajian kami, tidak seperti sajian Cina biasa. Ya, bukan bishe-bishe.

Phewwww! Pammmm! Mercun masih dapat diseludup masuk satu dua tetapi banyak yang telah diharamkan. Baguslah, cakap makcik, jimat duit. Bakar mercun macam bakar wang, katanya, sebab sekali berapi, wang tak kembali.

Saya terlihat sepupu saya memakai baju berbelang hitam putih. Eh, baju saya mengesat air mata kegembiraan selepas mendapat keputusan UPSR. Baguslah baju itu mendapat tuan yang baru.

Kami meneruskan budaya kunjung-mengunjung kepada ahli keluarga dan yang paling penting, kawan di kedai sebelah atuk dulu. Sebagai kanak-kanak, kami cuma seronok ikut serta makan pelbagai juadah, biskut, gula-gula, air manisan dan sudah pastinya apabila menerima ANG PAU!!

Kanak-kanak dan kekadang orang dewasa membuka “meja” pertaruhan. Tikam-menikam dan bermain daun terup. Wang angpau dibuka untuk dicuba nasib. Harapan agar wang ringgit bertambah jika menang. Hambar dan sedih jika berkurangan sebab kalah. Lama-kelamaan keghairahan pertaruhan sudah tiada dan Tahun Baru Cina sedikit kurang kemeriahannya.

Tahun demi tahun, kekadang Tahun Baru Cina disambut lebih meriah, kekadang ala kadar bergantung kepada ekonomi keluarga. Makcik saya masih meneruskan apa yang asas – makanan secukupnya untuk mengenyangkan berpuluh-puluh perut dari pagi ke malam selama 3-5 hari. Kami semua memberikan angpau besar kepada makcik sebab hari lahir beliau juga selalu disambut pada hari kedua Tahun Baru Cina.

Kemudian, kami yang sudah mencari rezeki mencadangkan agar makan sekali dua di luar. Makcik boleh berehat, tak perlu masak. Tidak lama kemudian, keluarga bertambah di Kuala Lumpur, ada yang di Singapura, maka tidak pulang ke kampung juga. Mungkin lebih mudah bagi makcik nak buat persediaan Tahun Baru Cina ala kadar.

Walaupun saya belum berkahwin, saya memberikan angpau kepada mereka yang lebih tua. Angpau saya tidak konsisten – bergantung kepada keadaan ekonomi. Tahun ini, ekonominya seperti saya tak mampu nak bagi angpau langsung.

Tahun ini saya mengenang zaman Tahun Baru Cina zaman 90-an. Ekonomi kali ini lembap macam zaman 90-an juga. Segalanya ala kadar, jimat sana sini – satu pengajaran yang amat penting dalam hidup saya. Mungkin ada hikmah dan satu peringatan yang baik bagiku.

Saya mengesat kaki sesampai ke rumah. Eh, baju berbelang warna hitam putih. Dia sudah menjadi alas kaki. Baju yang sudah lusuh, pudar warna dan digunakan buat tujuan lain. Riwayat sehelai baju itu…

Hoong Ling
24 Januari 2020

#RinduZamanTun

Tol dilanjutkan 20 tahun, ekonomi lembap macam zaman Tun. Apa lagi mahu rindu?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *