Malaysia bertuah kerana mempunyai rakyat dan pengundi yang bijak dan sanggup berkorban demi negara.

Kebijaksanaan pengundi Malaysia tidak dapat disangkal.

Pertama, dalam menegakkan tonggak demokrasi negara, rakyat Malaysia mengutamakan sistem demokrasi dengan setiap kertas undi dalam tangan mereka. Tidak kira dalam atau dari luar negara, semua akan bertungkus lumus menyertai pilihanraya umum yang menentukan pembentukan kerajaan. Ini amat jelas dengan turnout yang tinggi dalam setiap pilihanraya. Pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit untuk perjalanan pulang membuang undi amatlah dihargai.

Kedua, rata-rata rakyat memahami situasi negara dan sanggup membuat pengorbanan besar demi negara. Dalam masa kerajaan dipercayai dan dirasakan korup dan menyeleweng, pengundi Malaysia sanggup berkorban dan menanggung segala yang mendatang apabila kerajaan ditukar. Kesanggupan menderma beratus-ratus juta kepada kerajaan, kebersediaan melihat pergolakan lautan merah dalam bursa saham, ketahanan dalam menanggung kejatuhan harga komoditi dan kesabaran menyaksikan nilai ringgit menjunam amat mengagumkan.

Ketiga, pengundi turut bijak memberi isyarat kepada kerajaan. Turun berduyun-duyun dalam pelbagai protes jalanan sejak Reformasi sehinggalah ke Bersih 1 2 3 4 dan seterusnya. Tatkala kerajaan tidak berfungsi seperti yang dijangkakan, terserlah juga isyarat melalui peti undi – jelas kelihatan dengan kemenangan 15,000 majoriti dalam sebuah pilihanraya kecil dan hayunan undi rakyat kepada pihak pembangkang berbanding PRU lepas. Pembangkang turut memenangi kerusi demi kerusi dalam PRK, satu lagi isyarat kepada pihak kerajaan melalui peti undi.

Keempat, pengundi cukup matang mengendali berita-berita media sosial dan sudah mula belajar mengenali berita palsu. Cuma kekadang emosi terbawa-bawa. Malah, emosi masih dijadikan modal mainan politik sehingga kini. Pengundi turut matang dan tenang dalam menghadapi cabaran dan belenggu politik yang menyelubungi negara. Mereka reda dengan pilihan kerajaan mereka, ketidaktentuan dalam politik dan menerima kehadiran pergolakan yang mendatang. Lagipun, ini kerajaan pilihan rakyat.

Kelima, pengundi menyuarakan ketidakpuasan mereka dalam kebarangkalian terbentuk kerajaan pintu belakang. Sistem demokrasi negara yang begitu sukar mereka tegakkan bersama melalui undi keramat mereka, tidak mahu ditumbangkan melalui langkah begini.

Ramai yang cuma baru mula melibatkan diri atau mengenal politik dalam PRU lepas atau 2 PRU dahulu, dapat mempelajari banyak pola, pergerakan, strategi dan percaturan politik negara, lebih-lebih lagi apabila penyelusuran kapal ini dikemudi oleh otai strategi politik negara yang disegani dunia.

Malah, ini kali pertama Malaysia melihat kekalahan parti terdahulu yang menerajui negara selama 62 tahun, perpecahan dalam parti komponen dalam kedua-dua belah, pergerakan parti-parti di Sabah dan Sarawak serta pergerakan aktif ahli-ahli politik merentasi parti/gabungan. Kali pertama pengundi melihat terbentuk kerajaan baharu, dengan kabinet yang kurang berpengalaman dan kesukaran dalam mentadbir berbanding harapan yang diwar-warkan melalui buku manifesto.

Proses pembelajaran dalam politik negara cukup laju dalam masa 2 tahun ini. Barangkali mereka yang baru sahaja melibatkan diri dalam arena politik dalam beberapa tahun jagung ini telah mempelajari lebih daripada mereka yang sudah berdekad-dekad berkecimpung dalam politik.

Maka, saya amat yakin negara kita akan mencapai demokrasi yang matang dan bertaraf tinggi. Semoga PRU15 membawa berkat kepada Malaysia. Saya sangat menaruh harapan kepada pengundi Malaysia yang bijaksana dan matang dalam membuat keputusan yang terbaik buat Malaysia.

Akhir kata, saya secara peribadi merasakan bahawa, rakyat telah bersedia mengharungi pilihanraya umum jika diadakan bila-bila masa.

#BubarParlimen

Nota: Cukup-cukuplah kawan-kawan, jangan menghukum pengundi dengan kata-kata “Padan muka”, “Rasalah sendiri” dan sebagainya. Hakikatnya memang semua sudah terasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *